D.Y.M.M RAJA ZARITH SOFIAH BINTI ALMARHUM SULTAN IDRIS SHAH

D.K. (JOHOR) S.P.M.J, S.P.C.M.

D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawakkil Alallahi Shah, dilahirkan pada 14hb. Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak.

Beliau ialah puteri kedua dan anakanda yang ketiga kepada D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak dan D.Y.M.M. Raja Perempuan Perak.

D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Datin Khadijah Kuala Kangsar hingga darjah enam. Setelah tamat pengajian di sekolah rendah, Beliau meneruskan pelajaran ke tingkatan satu di Sekolah Jenis Kebangsaan Raja Perempuan Kalsom Kuala Kangsar.

Dalam bulan September 1972, D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah telah melanjutkan pelajaran di Chaltenham Ladies College, di England hingga tingkatan enam.

D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah pada bulan September 1977 meneruskan pelajarannya di Davies's College, London dan tahun berikutnya diterima masuk ke Somerville College, di Universiti Oxford setelah lulus peperiksaan Oxford Entrance Examination.

Beliau tamat pengajian di Universiti Oxford dengan mendapat Ijazah Bachelors of Arts dalam bulan Jun 1983 dan mengikut tradisi Universiti Oxford, D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah telah menerima Ijazah Master of Arts selepas tiga tahun iaitu dalam tahun 1986.

Dalam tahun 1980 D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah telah berpeluang melawati Turki dan Mekah untuk menunaikan umrah bersama Paduka ayahanda dan bonda serta keluarga. Pada tahun 1985, D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah telah menunaikan Haji bersama D.Y.M.M. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.

Seperti juga ayahandanya, D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah adalah seorang yang kaya dengan bakat seni terutama sekali seni lukisan dan lukisan-lukisannya pernah menjadi hiasan buku cenderamata Pesta Lukisan Kanak-Kanak.

D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah seorang yang peramah dan mempunyai jiwa rakyat dan sentiasa menyedari dan menghargai segala pengorbanan anggota-anggota Pasukan Keselematan.

Pada bulan Mac 1983, Paduka ayahandanya D.Y.M.M. Sultan Perak telah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran 'Seri Paduka Cura DiManjakini (S.P.C.M.) kepada D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah.